Dalam setahun, ada hari-hari tertentu yang sangat istimewa di sisi Allah. Antaranya ialah Hari Arafah, iaitu 9 Zulhijah adalah hari yang sangat agung dalam Islam. Ia bukan hanya untuk jemaah haji, tetapi seluruh umat Islam disarankan berpuasa dan memperbanyakkan doa hari arafah.
Hari ini dikenali sebagai:
- Hari pengampunan dosa
- Hari pembebasan dari api neraka
- Hari doa paling mustajab
Kelebihan Doa Hari Arafah
Nabi SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”
Riwayat al-Tirmizi (3509)
Ini menunjukkan bahawa Hari Arafah adalah antara waktu terbaik untuk:
- Meminta keampunan
- Memohon rezeki
- Meminta perlindungan
- Berdoa untuk keluarga dan masa depan

Doa Hari Arafah Yang Sangat Digalakkan
Antara zikir dan doa yang paling masyhur dibaca pada Hari Arafah ialah:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
“Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
💡 Apa Yang Patut Didokan Pada Hari Arafah?
Hari Arafah adalah peluang untuk bercakap sebanyak-banyaknya dengan Allah. Antara perkara yang boleh didoakan:
❤️ Keampunan dosa: Minta Allah ampunkan dosa lama dan beri peluang untuk berubah menjadi lebih baik.
❤️ Keluarga & ibu bapa: Doakan kesihatan, keberkatan hidup, hubungan keluarga dan ibu bapa yang masih hidup atau telah meninggal dunia.
❤️ Rezeki & urusan hidup: Memohon agar pekerjaan dipermudahkan, hutang diselesaikan, rezeki yang halal & berkat.
❤️ Keselamatan dunia & akhirat: Kadang kita terlalu fokus pada dunia, sedangkan doa terbaik ialah yang menyelamatkan kita di akhirat nanti.
Waktu Terbaik Doa Hari Arafah
- Sekiranya seseorang itu berada di Malaysia, maka dia boleh berdoa bermula daripada masuknya 9 Zulhijah mengikut waktu tempatan.
- Sekiranya dia berada di Arab Saudi, maka dia perlu mengikut waktu wukuf di Arafah berdasarkan waktu tempatan di sana. Ia bermula selepas tergelincirnya matahari pada waktu Zohor sehinggalah terbenamnya matahari pada waktu Maghrib.
- Sekiranya mampu untuk berdoa pada waktu yang sama dengan waktu wukuf bagi mereka melakukan haji, maka itu lebih baik. (Disarankan juga berpuasa pada hari tersebut bagi bukan jemaah haji)
💡 Jangan Sekadar Copy Paste Doa
Kadang kita terlalu sibuk cari doa panjang, sedangkan doa paling ikhlas ialah doa yang datang dari hati sendiri. Bercakaplah dengan Allah tentang penat kita, masalah kita dan harapan kita. Kerana mungkin Hari Arafah inilah waktu Allah ingin mendengar doa kita.
💡 Ramai Rugi Pada Hari Arafah
Ada yang sibuk shopping raya, sibuk persiapan Aidiladha dan sibuk di media sosial. Tetapi lupa berdoa pada hari paling mustajab.
Jadi, jangan biarkan Hari Arafah berlalu tanpa:
✔️ Doa
✔️ Zikir
✔️ Istighfar
✔️ Puasa sunat
✔️ Sedekah
Baca: Amalan Sunat Hari Arafah: Peluang Emas Sebelum Aidiladha
Hari Arafah adalah peluang besar untuk kita kembali dekat dengan Allah. Jangan lepaskan peluang ini kerana kita tidak tahu. Mungkin ini Hari Arafah terakhir buat kita.